Rabi’ah
binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam
sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah
berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang
miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah.
Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai
Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada
akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam
pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan
telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai
berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat
tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin
diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’
serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun
begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak
terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu
gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan
al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka
menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi
segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai
hamba yang benar-benar taat.
Bapa
Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada
kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia
mendidik anak perempuannya menjadi Muslimah yang berjiwa bersih.
Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata.
Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi
al-Quran sehingga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi
Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi
serta keimanan yang mendalam.
Menjelang
kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin
buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak
terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada
riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat.
Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam
di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat.
Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong
hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba bergantung harap
kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya
Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala
yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala
pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku!
bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua
pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku!
Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang
bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang
menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin
yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati
semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang
menyamai-Mu.
“Sekelian
manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik
maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di
hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang
akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku!
Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada
keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam
dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah
Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak
yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap
sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi
lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyingsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai
Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai
malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku
berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan
takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau
menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika
Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak
bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan
itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada
mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah
perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah
seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia
terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan
lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan
akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata.
Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa
membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku
tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Tiada selain Dia di
dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada
penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi Dia tidak pernah
ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah
telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia
menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk
membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan
menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:
“Wahai
Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu
dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika
aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku
di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu
maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana
kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah
aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah
keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan
keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135
Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah
meredainya, amin!
Sekarang
mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat
yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang
bermaksud:
“Apakah
kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi
Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana
perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita?
Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan
berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama
ini:
“Ya
Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu
sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang
mengasyikkan.”
Sesungguhnya
apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita
bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita
kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan
hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang
sentiasa subur.
Lanjutan
itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan
yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu
dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini
sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia.
Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan
itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada
Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap
Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah
Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah
yang kekal abadi.
No comments:
Post a Comment