Jiwaku.....
Jiwaku menasihatiku dan mengungkapkan kepadaku bahawa cinta tidak hanya menghargai orang yang mencintai, tetapi juga orang yang dicintai dan yang tidak mencintai
Jiwaku berkata padaku dan menasihatiku agar mencintai semua orang yang membenciku dan berteman dengan mereka yang memfitnahku dan yang berburuk sangka padaku.
Jiwaku
menasihatiku dan mengingatkanku agar tidak tertipu dengan kecantikan
yang lahir dari keelokan luaran, kerna kecantikan yang luaran itu tidak
menjamin kecantikan yang ada di dalaman.
Jiwaku menasihatiku dan memintaku untuk mendengar
suara yang keluar bukan dari lidah maupun dari kerongkongan. Ia
memintaku agar mendengar suara – suara yang lahir dari sanubari setiap
insani agar diriku sensitif dengan setiap kata – kata dan perbuatan yang
lahir dari peribadi.
Jiwaku menasihatiku dan mengingatkanku agar jangan menilai
seseorang dengan menggunakan hati yang diselaputi kedengkian,
keirihatian dan kegelapan. Nilailah seseorang melalui hati yang bersih
agar diriku mampu melihat kejernihan disebalik kekotoran.
Jiwaku berkata padaku dan menasihatiku agar memuaskan
segala keinginan ku dengan segala perkara yang menyedarkanku betapa
hinanya aku, betapa tiada nilainya diriku dan betapa berdosanya diriku.
Jiwaku menasihatiku dan memintaku selalu mencari yang tak dapat dilihat,
yang begitu sukar untuk mendapatkan, yang begitu sulit untuk dinikmati
dalam amal iaitu keikhlasan yang diibaratkan semut hitam yang berjalan
di atas batu yang hitam pada waktu malam yang penuh dengan kegelapan.
Jiwaku
mengatakan padaku dan mengundangku untuk menghirup harum tumbuhan yang
tak memiliki akar, tangkai mahupun bunga kerana sesuatu hikmah yang baik
untukku bukanlah hanya pada sesuatu yang mendatangkan keseronokkan
kepadaku tetapi ia kadang – kadang lahir dari keperitan dan kesengsaraan
Jiwaku
menasihatiku dan memintaku agar tidak merasa mulia kerana pujian agar
tidak disusahkan oleh ketakutan kerana cacian dan agar diriku tetap
sedar diriku ini hamba yang hina kepada Allah yang Maha Mulia.
Jiwaku
menasihatiku dan memerintahku untuk melihat bahawa cahaya yang kubawa
bukanlah cahayaku. Meski aku berjalan dengan cahaya, aku bukanlah
cahaya. Cahaya itu datang dariNya dan yang menerobos kedalam hati – hati manusia terhasil dari keizinan dariNya.
Jiwaku menasihatiku dan mengingatkanku untuk mengukur waktu
dengan kematian yang sentiasa mengejari dari belakang agar senantiasa
diriku manfaatkan setiap inci waktu untuk mendekatkan diri dengan Allah,
Tuhan sekalian alam.
Jiwaku menasihatiku dan mengingatkanku, berilah
segala apa yang diriku mampu untuk Islam, andai ada sepuluh sen sahaja
di poketku, sumbanglah walau sesen pun kerna itulah saham yang
menguntungkan diriku di sana kelak.
Jiwaku menasihatiku dan menegaskanku betapa perlunya aku menyampaikan kebenaran
dengan cara apa sekalipun, berkata, menulis, menegur dan sebagainya
kerna dengan hadirnya kebenaran barulah tertumbangnya kebatilan. Biarpun
kebenaran itu ditekan, dicantas, dihimpit, kebenaran tetap kebenaran !
Jiwaku
mahu sahabat – sahabatku tahu yang diriku ini bukan orang yang baik,
yang alim, yang warak dan yang terjamin Syurga. Aku hanya sebutir pasir
yang boleh didapati di jalanan yang nilainya tidak mampu mengalahkan
nilai permata mahupun mutiara. Aku hanya hamba biasa yang penuh dosa yang berharap Allah mengampunkan segala.
Jiwaku
menasihatiku dan saudaraku. Jangan jadi hamba kepada Dunia. Jangan jadi
hamba kepada Harta. Jangan jadi hamba kepada Nafsu. Jangan jadi hamba
kepada Syaitan. Jadilah hamba Allah yang sebenar – benarnya.
Moga nasihat dari jiwa ini memberi kesan kepada diriku dan sahabat – sahabatku.
Moga Allah redha.
Dipetik dari http://diarihati.com
No comments:
Post a Comment