Luasnya Rahmat Allah
Rahmat adalah kasih sayang Allah. Apabila Allah mencipta dunia, dicipta
bersamanya 100 rahmat. Allah hanya menurunkan satu rahmat ke dunia dan
99 rahmat lagi ditahan Allah di akhirat. Satu rahmat inilah yang
membolehkan kita bergerak, bernafas, melihat kebesaran Allah dan
segalanya.
“Apabila kita hidup setiap pagi, ingat bahawa Allah
menghidupkan kita pagi ini kerana banyak dosa dan Allah beri kesempatan
untuk bertaubat kepada Allah kerana esok belum tentu lagi Allah hidupkan
kita.” Imam Ghazali.
Syariat Allah adalah rahmat dari Allah
disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Perutusan Rasulullah s.a.w adalah
rahmat kepada manusia dari Allah.
Allah berfirman, “Aku tidak mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan memberi rahmat kepada seluruh alam.”
Hikmah Allah menurunkan peraturan hidup
kepada manusia agar setiap detik dalam hidup manusia mendapat pahala dan
dijadikan ibadah. Tidak mungkin kita akan mendapat pahala sekiranya
hidup kita tidak berjalan mengikut hukum Allah. Sedangkan usia kita
semakin lanjut, namun sayang sekali ia dilalui tanpa dikira sebagai
ibadah.
“Apakah yang paling jauh?” “Masa yang telah berlalu yang mana tidak mungkin akan kembali.” Imam Ghazali.
Manusia degil, tidak mahu mengikut
syariat Allah dan mengikut syariat manusia. Lantas, umur yang berlalu
tidak berguna. Syariat Allah tidak dilihat sebagai suatu rahmat, tetapi
suatu bebanan.
Manusia degil, tidak mahu ikut syariat
Allah dan hanya mahu mengikut hukum manusia. Syariat Allah itu dilihat
sebagai suatu bebanan.
Setiap manusia ada minat. Ia dikurnia
Allah supaya manusia dapat menggembirakan hatinya. Apabila manusia
lakukan apa yang dia minat, dia akan jadi gembira. Bagaimana hendak
jadikan minat itu satu ibadah?
Allah berfirman, “Kamu nak buat apa pun buatlah, cuma pastikan ia menjadi ibadat di sisi Allah.”
Maka lakukanlah minat tanpa melanggar
syariat Allah. Memancinglah namun jangan hingga tinggal solat, tanamlah
pokok buah namun jangan hingga dahannya menjengah rumah jiran sedangkan
buahnya tidaklah dikongsi, belalah haiwan namun jangan sampai melepas
merata-rata di rumah jiran, tengoklah bola namun jangan sampai solat itu
ditinggalkan.
Namun zaman sekarang, syariat pula yang
perlu turut kita sedangkan kita yang patut turut syariat. Ustaz beri
contoh ada seorang lelaki bertanya ustaz, “Bolehkah saya tengok tv
sambil solat?” Ustaz jawab, “Boleh, tengoklah.” Dia membalas, “Maksud
saya tv dibuka, nak tonton bola. Jika nak tunggu bola habis, alamatnya
tak solat maghriblah.” Ustaz jawab, “Tak boleh.” Dia membalas, “Tapi
saya khusyuk dalam solat.” Ustaz jawab, “Kamu khusyuk tengok tv dalam
solat, bukan khusyuk di dalam solat.”
Sekiranya syariat yang menuruti kita,
maka tidak bergunalah syariat itu. Kita akan menjadi seperti kristian.
Lihat apa yang berlaku di negara Eropah. Contohnya kahwin sama jantina
dibenarkan di Great Britain dan boleh kahwin di gereja setelah parlimen
meluluskan perkahwinan sama jantina. Kata ustaz, “Berlaga misailah
nanti.” Bila orang nak, syariat ikut. Bila orang taknak, syariat tak
ikut. Itu bukan caranya.
Pada bulan Ramadhan, Allah turunkan
Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penerang untuk mendapat
hidayah Allah serta membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Fitrah
manusia ialah melakukan kebaikan namun banyak tersasar. Itulah perlunya
syariat Allah.
Syariat Allah diturunkan untuk menjaga lima perkara.
- Menjaga agama - kerana itulah murtad hukumnya dibunuh
- Menjaga nyawa – kerana itulah hukum qisas bunuh hukumnya bunuh atau membayar 1000 ekor unta (RM500,000). Namun apabila Allah meminta nyawa kita Fi Sabilillah, maka mesti memberinya Fi Sabilillah.
- Menjaga akal – diharamkan arak, judi, dadah iaitu perkara memabukkan dan merosakkan akal.
- Menjaga keturunan – hukuman berat ke atas penzina, 100 sebatan bagi yang belum berkahwin dan rejam bagi yang sudah berkahwin.
- Menjaga harta – kaitan dengan pengharaman riba, zakat, harta baitul mal, pembahagian faraid, hak wanita di dalam iddah sebagainya.
Dalam hirarki ini, harta terletak di
bawah sekali dan agama di atas sekali. Namun sayangnya keadaan sekarang
menjadi terbalik. Harta didahulukan, agama ditinggalkan. Sayang harta
dan pangkat hingga agama tergadai.
Sekiranya syariat tidak dilaksanakan
maka tidaklah manusia mendapat manfaat darinya. Maka ia hendaklah
dilaksanakan barulah manfaat itu dapat dirasai.
Selain dari syariat, diterangkan juga
bahawa hujan, pertukaran malam dan siang, serta kewujudan pasangan
(suami isteri) jua adalah rahmat Allah.
Keredhaan Allah tidak semestinya turun
dalam keadaan yang kita suka, kadangkala ia turun dalam keadaan tidak
kita senangi. Contohnya, Rasulullah s.a.w yang rajin beribadah apabila
berdakwah di Taif dibaling batu sampai berdarah. Kenapa Allah tidak
halang? Adakah Allah tidak sayang Rasulullah s.a.w?
Sudah pasti Allah sayang pada Rasulullah s.a.w dan Allah redha pada baginda, ia terjawab di dalam doa baginda.
“Ya Allah, aku mengadu kepada Kamu betapa lemahnya aku, Engkaulah tuhan dan aku orang yang lemah, apakah Kau mahu campak aku di tempat yang jauh dari manusia atau ditengah musuh yang tidak teragak memancungku? Jika ini membuatkan Kau redha kepadaku, maka aku tidak kisah.”
Jika redha Allah itu datang dalam
kemiskinan, atau kematian ahli keluarga yang rapat, atau dirampas harta
oleh pemerintah zalim, maka apa daya kita. Kita hanyalah hamba dan
bukannya pekerja kepada Allah. Apa ketentuan Allah, itulah yang kita
terima. Allah tidak menzalimi makhluk, hanya makhluk menzalimi diri
sendiri.
Berkenaan bab rahmat Allah melalui
pasangan suami isteri, ustaz memberitahu bahawa suami dan isteri adalah
pelengkap antara satu dengan lain. Kiraan ibadat orang yang sudah
berkahwin dan bujang adalah tidak sama. Oleh sebab itulah sekiranya
terdapat dua lelaki yang sama ilmunya namun salah seorang sudah
berkahwin manakala seorang lagi masih bujang, maka afdhal yang sudah
berkahwin menjadi imam.
Pasangan kita akan menjadi penyambung
pahala kepada kita. Ini kerana pasangan kita lah yang akan mengingatkan
pada kebaikan kita sekiranya kita tiada lagi di alam ini. Rasulullah
s.a.w menyatakan bahawa sekiranya kebaikan kita dikenang, maka kita akan
mendapat pahala.
Ini bermakna orang yang sudah meninggal
dunia seharusnya dikenang, bukannya dilupakan. Maka mengarutlah adat
melalui bawah jenazah supaya dilupai akan arwah yang dipraktikkan
sebahagian masyarakat melayu.
Dipetik dari http://sebaikbaikcahaya.com...
No comments:
Post a Comment