Ya Allah Ya Hayuu Ya Qayumm

Hidup ku dan matiku hanyalah untuk mu Ya Allah....Kuatkan lah iman ku dan berikanlah aku petunjuk mu dan lindungilah aku serta keluarga ku dengan rahmatmu ya Allah...Amin

Wednesday 22 August 2012

Pencarian Rahmat Allah SWT

Luasnya Rahmat Allah

Rahmat adalah kasih sayang Allah. Apabila Allah mencipta dunia, dicipta bersamanya 100 rahmat. Allah hanya menurunkan satu rahmat ke dunia dan 99 rahmat lagi ditahan Allah di akhirat. Satu rahmat inilah yang membolehkan kita bergerak, bernafas, melihat kebesaran Allah dan segalanya.

“Apabila kita hidup setiap pagi, ingat bahawa Allah menghidupkan kita pagi ini kerana banyak dosa dan Allah beri kesempatan untuk bertaubat kepada Allah kerana esok belum tentu lagi Allah hidupkan kita.” Imam Ghazali.


Syariat Allah adalah rahmat dari Allah disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Perutusan Rasulullah s.a.w adalah rahmat kepada manusia dari Allah.
Allah berfirman, “Aku tidak mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan memberi rahmat kepada seluruh alam.”
Hikmah Allah menurunkan peraturan hidup kepada manusia agar setiap detik dalam hidup manusia mendapat pahala dan dijadikan ibadah. Tidak mungkin kita akan mendapat pahala sekiranya hidup kita tidak berjalan mengikut hukum Allah. Sedangkan usia kita semakin lanjut, namun sayang sekali ia dilalui tanpa dikira sebagai ibadah.
“Apakah yang paling jauh?” “Masa yang telah berlalu yang mana tidak mungkin akan kembali.” Imam Ghazali.
Manusia degil, tidak mahu mengikut syariat Allah dan mengikut syariat manusia. Lantas, umur yang berlalu tidak berguna. Syariat Allah tidak dilihat sebagai suatu rahmat, tetapi suatu bebanan.
Manusia degil, tidak mahu ikut syariat Allah dan hanya mahu mengikut hukum manusia. Syariat Allah itu dilihat sebagai suatu bebanan.
Setiap manusia ada minat. Ia dikurnia Allah supaya manusia dapat menggembirakan hatinya. Apabila manusia lakukan apa yang dia minat, dia akan jadi gembira. Bagaimana hendak jadikan minat itu satu ibadah?
Allah berfirman, “Kamu nak buat apa pun buatlah, cuma pastikan ia menjadi ibadat di sisi Allah.”
Maka lakukanlah minat tanpa melanggar syariat Allah. Memancinglah namun jangan hingga tinggal solat, tanamlah pokok buah namun jangan hingga dahannya menjengah rumah jiran sedangkan buahnya tidaklah dikongsi, belalah haiwan namun jangan sampai melepas merata-rata di rumah jiran, tengoklah bola namun jangan sampai solat itu ditinggalkan.
Namun zaman sekarang, syariat pula yang perlu turut kita sedangkan kita yang patut turut syariat. Ustaz beri contoh ada seorang lelaki bertanya ustaz, “Bolehkah saya tengok tv sambil solat?” Ustaz jawab, “Boleh, tengoklah.” Dia membalas, “Maksud saya tv dibuka, nak tonton bola. Jika nak tunggu bola habis, alamatnya tak solat maghriblah.” Ustaz jawab, “Tak boleh.” Dia membalas, “Tapi saya khusyuk dalam solat.” Ustaz jawab, “Kamu khusyuk tengok tv dalam solat, bukan khusyuk di dalam solat.”
Sekiranya syariat yang menuruti kita, maka tidak bergunalah syariat itu. Kita akan menjadi seperti kristian. Lihat apa yang berlaku di negara Eropah. Contohnya kahwin sama jantina dibenarkan di Great Britain dan boleh kahwin di gereja setelah parlimen meluluskan perkahwinan sama jantina. Kata ustaz, “Berlaga misailah nanti.” Bila orang nak, syariat ikut. Bila orang taknak, syariat tak ikut. Itu bukan caranya.
Pada bulan Ramadhan, Allah turunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penerang untuk mendapat hidayah Allah serta membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Fitrah manusia ialah melakukan kebaikan namun banyak tersasar. Itulah perlunya syariat Allah.
Syariat Allah diturunkan untuk menjaga lima perkara.
  1. Menjaga agama - kerana itulah murtad hukumnya dibunuh
  2. Menjaga nyawa – kerana itulah hukum qisas bunuh hukumnya bunuh atau membayar 1000 ekor unta (RM500,000). Namun apabila Allah meminta nyawa kita Fi Sabilillah, maka mesti memberinya Fi Sabilillah.
  3. Menjaga akal – diharamkan arak, judi, dadah iaitu perkara memabukkan dan merosakkan akal.
  4. Menjaga keturunan – hukuman berat ke atas penzina, 100 sebatan bagi yang belum berkahwin dan rejam bagi yang sudah berkahwin.
  5. Menjaga harta – kaitan dengan pengharaman riba, zakat, harta baitul mal, pembahagian faraid, hak wanita di dalam iddah sebagainya.
Dalam hirarki ini, harta terletak di bawah sekali dan agama di atas sekali. Namun sayangnya keadaan sekarang menjadi terbalik. Harta didahulukan, agama ditinggalkan. Sayang harta dan pangkat hingga agama tergadai.

Sekiranya syariat tidak dilaksanakan maka tidaklah manusia mendapat manfaat darinya. Maka ia hendaklah dilaksanakan barulah manfaat itu dapat dirasai.

Selain dari syariat, diterangkan juga bahawa hujan, pertukaran malam dan siang, serta kewujudan pasangan (suami isteri) jua adalah rahmat Allah.

Keredhaan Allah tidak semestinya turun dalam keadaan yang kita suka, kadangkala ia turun dalam keadaan tidak kita senangi. Contohnya, Rasulullah s.a.w yang rajin beribadah apabila berdakwah di Taif dibaling batu sampai berdarah. Kenapa Allah tidak halang? Adakah Allah tidak sayang Rasulullah s.a.w?
Sudah pasti Allah sayang pada Rasulullah s.a.w dan Allah redha pada baginda, ia terjawab di dalam doa baginda.
“Ya Allah, aku mengadu kepada Kamu betapa lemahnya aku, Engkaulah tuhan dan aku orang yang lemah, apakah Kau mahu campak aku di tempat yang jauh dari manusia atau ditengah musuh yang tidak teragak memancungku? Jika ini membuatkan Kau redha kepadaku, maka aku tidak kisah.”
Jika redha Allah itu datang dalam kemiskinan, atau kematian ahli keluarga yang rapat, atau dirampas harta oleh pemerintah zalim, maka apa daya kita. Kita hanyalah hamba dan bukannya pekerja kepada Allah. Apa ketentuan Allah, itulah yang kita terima. Allah tidak menzalimi makhluk, hanya makhluk menzalimi diri sendiri.
Berkenaan bab rahmat Allah melalui pasangan suami isteri, ustaz memberitahu bahawa suami dan isteri adalah pelengkap antara satu dengan lain. Kiraan ibadat orang yang sudah berkahwin dan bujang adalah tidak sama. Oleh sebab itulah sekiranya terdapat dua lelaki yang sama ilmunya namun salah seorang sudah berkahwin manakala seorang lagi masih bujang, maka afdhal yang sudah berkahwin menjadi imam.
Pasangan kita akan menjadi penyambung pahala kepada kita. Ini kerana pasangan kita lah yang akan mengingatkan pada kebaikan kita sekiranya kita tiada lagi di alam ini. Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa sekiranya kebaikan kita dikenang, maka kita akan mendapat pahala.
Ini bermakna orang yang sudah meninggal dunia seharusnya dikenang, bukannya dilupakan. Maka mengarutlah adat melalui bawah jenazah supaya dilupai akan arwah yang dipraktikkan sebahagian masyarakat melayu.

Dipetik dari http://sebaikbaikcahaya.com...

No comments:

Post a Comment